Ramadhan Tak Sabar Lonjak Terengganu City


KUALA TERENGGANU: Pemain tonggak kelab Terengganu City FC (TCFC),  Khairul Ramadhan Zauwawi bertekad menggunakan segala pengalamannya dalam misi membantu pasukannya muncul juara Piala FAM dalam aksi final bertemu Selangor United, Khamis ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras.

Bekas pemain sayap skuad Terengganu dan PKNS FC itu yang pernah 'berguru' dengan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim dan E Elavarasan turut berharap rakan sepasukannya termasuk bekas penyerang Melaka United, Izzaq Faris Ramlan dan bekas pemain Terengganu, Reesyafiq Alwi mampu membimbing pemain muda menjuarai piala itu.

“Layak ke final adalah sesuatu yang luar biasa buat pasukan kami, malah kami bagaikan tidak percaya berjaya mara sehingga ke peringkat akhir kerana pada awalnya skuad kami tidak diberi harapan langsung untuk mara ke final jika dilihat dengan pemain yang ada.

 “Tapi sebagai pemain senior saya cukup berbangga dengan komitmen pemain muda yang mempunyai semangat yang kental ketika beraksi malah mereka juga tidak mengenal erti putus asa untuk melangkah ke pentas final biarpun sebelum ini ada halangan yang terpaksa diharungi,” kata Ramadhan.

Dalam aksi separuh akhir kedua Jumaat lalu, skuad kendalian Md Noor Md Derus itu terpaksa `bermandi peluh’ sebelum bangkit mencipta kemenangan 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak sesudah tewas 1-2 dalam aksi pertama kepada pasukan KL MOF FC.

Pemain berusia 30 tahun itu berkata, kejayaan pasukannya mara ke Liga Perdana musim depan mampu menyuntik semangatnya serta rakan sepasukan untuk memperagakan aksi terbaik bertemu skuad Selangor United yang sebelum ini dikenali Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBMS).

“Saya tidak mahu mendabik dada biarpun saya pernah beraksi di Liga Perdana dan Liga Super sebelum ini, ini kerana majoriti pemain yang membarisi skuad TCFC ini ramai pemain muda yang sudah pasti masih cetek pengalaman di pentas piala itu.

“Justeru saya menyerahkan 100 peratus kepada barisan jurulatih untuk menyusun strategi dan taktikal berkesan bagi memastikan Piala FAM itu menjadi milik kami untuk dibawa pulang ke Terengganu,” kata Ramadhan yang berharap mampu menjadi rakan pembimbing kepada rakan sepasukannya dalam aksi final nanti. - Berita Harian