Tak Pandang Mudah Jumpa Felda United


KUALA TERENGGANU: Irfan Bakti Abu Salim tidak terlalu memikirkan mengenai lawan mereka pada suku akhir Piala Malaysia walaupun menyedari FELDA United bukan calang-calang pasukan yang boleh ditundukkan.

Pengendali Terengganu FC (TFC) itu menyatakan pasukan juara Liga Perdana itu mempunyai kekuatan tersendiri yang jika dipandang remeh mampu memakan diri sendiri.

“Kami akan bertemu FELDA United pada aksi suku akhir dan sekalipun pasukan ini bermain dalam Liga Perdana musim ini, kami tidak boleh memandang mudah kemampuan mereka sekalipun malam ini (malam tadi) mereka tewas 1-6 kepada Melaka United.

“Kami belum mengetahui tarikh sebenar perlawanan dan siapa yang menjadi tuan rumah terlebih dulu. Jadi, kami akan bersiap sedia serta perkemaskan pasukan untuk berdepan aksi suku akhir,” katanya selepas perlawanan yang menyaksikan TFC tewas 2-3 kepada Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Keputusan aksi terakhir Kumpulan A itu bagaimanapun tidak menggugat kedudukan TFC selaku juara kumpulan manakala Perak yang tewas 1-2 di tangan FELCRA FC muncul naib juara dengan perbezaan jaringan.

TFC tidak bernasib baik apabila terpaksa mengharungi 55 minit permainan menentang Kuala Lumpur dengan 10 orang pemain selepas pemain tengah, Fazirhikwan Mat Rani dilayangkan kad merah pada babak pertama. - Berita Harian