Terengganu City FC Belum Pasti Beraksi Di Liga Perdana


KUALA LUMPUR: Sama ada Terengganu City FC bersaing dalam Liga Perdana musim depan masih belum pasti walaupun muncul juara Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), malam kelmarin.

Ia susulan pihak pengurusan kelab dari Pantai Timur itu belum membuat keputusan mengenai perkara berkenaan selepas mereka secara automatik dinaikkan pangkat ke Liga Perdana.

Pengendali Terengganu City, Md Noor Derus hanya mengulas ringkas ketika ditanya mengenai hala tuju pasukannya musim depan.

“Perkara itu (untuk bersaing dalam Liga Perdana), pengurusan yang akan maklumkan selepas ini. Kita akan tengok bagaimana perancangannya,” kata Md Noor selepas skuad kendaliannya menewaskan Selangor United 2-0 pada aksi final Piala FAM di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Kemampuan Terengganu City untuk bersaing dalam Liga Perdana juga mula dipertikai beberapa pihak susulan isu tuntutan tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak enam pemain berjumlah RM283,000, seperti yang didedahkan Jawatankuasa Status FAM, kelmarin.

Melihat kepada isu berkenaan, mampukah Terengganu City untuk berada dalam Liga Perdana yang memerlukan perbelanjaan jutaan ringgit termasuk dalam mencari pemain import untuk memastikan mampu bersaing dengan pasukan yang lebih hebat.

Malah, perkara itu mungkin merencatkan kegembiraan barisan pemain Terengganu City menjulang Piala FAM kerana perlu memikirkan soal masa depan kerjaya mereka.

Mengulas mengenai kejayaan pasukannya menjulang Piala FAM, Md Noor memuji semangat juang yang tinggi dimiliki pemainnya termasuk ketika latihan dan perlawanan.

“Pengalaman ini amat berguna untuk jurulatih baharu macam saya dan saya masih perlu belajar dengan jurulatih yang lebih berpengalaman.

“Piala FAM nampak mudah tapi sebenarnya susah sebab pasukan terdiri daripada pemain tidak ternama. Jadi, kita harus ajar mereka dengan taktikal dan banyak benda kita kena buat,” katanya.

 - Berita Harian