Terengganu FC II Waspada Ancaman Bujang Senang


KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFCII) tidak boleh memandang mudah ketika melayan kunjungan Sarawak dalam aksi Kumpulan A kempen Piala Cabaran di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Pengendali TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, jika berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, pasukannya liat untuk mengatasi skuad Bujang Senang itu.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, sekalipun Sarawak kini menghuni tangga tercorot, beliau yakin lawan tidak akan memberi laluan mudah kepada pasukannya.

"Apa yang penting, kita mahu tiga mata penuh sekali gus mengesahkan slot ke separuh akhir tanpa perlu menunggu perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan Negeri Sembilan.

"Kemenangan ke atas Sarawak malam ini amat penting apatah lagi bermain di laman sendiri," katanya kepada Sukan NSTP.

Tengku Hazman berkata, anak buahnya juga harus mengekalkan rentak permainan seperti ketika mengalahkan UKM FC tempoh hari.

TFC11 turut mengharapkan kombinasi dua awang importnya, Akanni Sunday Wasiu dan Bruno Suzuki yang semakin menjadi dapat membantu pasukan mencipta kemenangan.

"Suzuki mengalami sedikit kecederaan ketika latihan dan saya harap pemain ini mampu diturunkan dalam perlawanan penting ini.

"Malah, jika Suzuki tidak boleh diturunkan, saya mempunyai calon lain menggantikan tempatnya," katanya. - Berita Harian