30,000 Tiket Final Piala Malaysia Dijual Khamis


KUALA NERUS - Sebanyak 30,000 keping tiket aksi final Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Perak  di Stadium Shah Alam  Sabtu ini, akan mula dijual kepada penyokong skuad Penyu pada Khamis ini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, tiket tersebut akan dijual bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Beliau memaklumkan jualan tiket berharga RM50 sekeping untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun akan dibuat di kaunter stadium sepenuhnya.

"Jika tiket tidak dapat dihabiskan pada hari pertama, jualan akan disambung pada hari keesokannya iaitu Jumaat bermula jam 9 pagi di kaunter stadium yang sama," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat dan kunjungan hormat oleh pengurusan tertinggi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan ke Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan Wan Roslan Hamat berkata, kunjungan itu antara lain bertujuan mendapatkan nasihat dan maklumat berkaitan pengurusan dan program sukan bermutu untuk diterap dan dipraktikkan di Kelantan.

"Kelantan dalam proses pengambilalihan seperti yang disarankan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya Exco yang  memegang portfolio sukan dilantik sebagai pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN).

"Alhamdulillah melalui kunjungan hari ini kami memperoleh pelbagai input termasuk berkaitan pengurusan dan pentadbiran MSN yang boleh diterap dalam pengurusan kami nanti," katanya. - Sinar Harian