Juarai Piala Cabaran Mengubat Kedukaan Terengganu FC II

Posted on Sunday, October 07, 2018 | 10/07/2018



Kedukaan Terengganu FC (TFC) II tersingkir daripada Liga Perdana ingin diubati pengendali sementara, Tengku Hazman Raja Hassan, dengan membawa pasukan itu menjuarai edisi sulung Piala Cabaran.

Bertemu UKM FC dalam perlawanan akhir pertama di Bangi, Isnin ini, Tengku Hazman mengakui skuad bimbingannya tiada pilihan selain menghadiahkan trofi kemenangan selepas aksi suram sepanjang kempen liga.

"Kemaraan ke final adalah harga yang mahal kerana TFC II akan beraksi dalam Liga FAM pada 2019.

"Kami semua begitu mahukan kejuaraan untuk melupakan kekecewaan musim ini," jelas bekas ketua pasukan kebangsaan itu.

Mengulas lanjut, Tengku Hazman menyifatkan peluang seimbang buat kedua-dua pasukan pulang selaku pemenang walaupun mereka menewaskan UKM FC 3-1 serta seri 3-3 dalam aksi kumpulan.

Rekod baik tersebut, jelasnya, tidak menjadikan TFC II pasukan pilihan dengan persiapan mereka terjejas ekoran kecederaan lutut dialami Sebastian Thurier menyaksikan pemain import itu terpaksa melupakan pertembungan final.

Malah, status Bruno Junichi Suzuki juga masih meragukan ekoran kecederaan pinggang yang membelenggu tonggak serangan itu sejak bulan lalu.

"Keadaan Bruno tidak berapa teruk tetapi saya mungkin perlu mencari pengganti Sebastian.

"Pemain-pemain yang akan diturunkan diharap mampu mempersembahkan rentak permainan terbaik," ujar Tengku Hazman. - Arena
Blog, Updated at: 10/07/2018

0 comments:

Loading...