Lee Tuck Sanggup Menggadaikan...


Pemain tengah, Terengganu FC (TFC) percaya perlawanan separuh akhir unifi Piala Malaysia akan datang bakal menjadi perlawanan sengit menentang Johor Darul Ta’zim dan aksi terbaik akan ditampilkan beliau demi negeri Terengganu.

Pemain daripada England ini menyertai Terengganu FC musim ini dan telah meletakkan diri sebagai pemain kegemaran penyokong setia Terengganu selepas menampilkan prestasi cemerlang sepanjang musim.

Lee Tuck menegaskan prestasi pasukan meningkat dari masa ke semasa dan beliau akan melakukan apa yang termampu untuk memastikan mereka layak ke perlawanan akhir unifi Piala Malaysia 2018 yang akan berlangsung pada 27 Oktober ini.

“Ini sebuah perlawanan terbesar bagi seluruh negeri Terengganu,” kata beliau.

“Pasukan kami banyak diperkatakan dalam media sosial dan ini peluang kami untuk mempamerkan kemampuan kami kepada seluruh negara ini (lawan Johor Darul Ta’zim).

“Ini akan menjadi perlawanan sukar (lawan juara bertahan) kerana tidak banyak pasukan yang berjaya memperoleh keputusan positif menentang mereka musim ini tetapi misi kami ialah untuk tidak bolos di halaman sendiri nanti.

Bekas pemain Negeri Sembilan ini kini merupakan penjaring kedua terbanyak musim ini dengan mencetakkan tujuh gol, hanya satu gol dibelakang penyerang Kuala Lumpur Guilherme de Paula (8 gol).

“Sejujurnya saya sangat seronok apabila dapat menjaringkan gol bermain di bahagian tengah.

"Saya sanggup menggadaikan semua gol demi menjuarai kejohanan ini kerana mereka tidak akan mengingati siapa yang menjaringkan gol tetapi siapa yang menjulang trofi di penghujung musim,” tamat Lee Tuck.

Terengganu FC akan menentang Johor Darul Ta’zim dalam separuh akhir pertama di Kuala Terengganu nanti. - FMLLP