Messi Tranung Sudah Bersedia


KUALA TERENGGANU: Tingginya hanya 1.56m selain bertubuh kecil, namun itu bukan halangan buat arkitek Terengganu FC (TFC), Mohd Faiz Mohd Nasir (gambar) untuk menguasai jentera tengah bersama Lee Tuck apabila pasukannnya berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu ini.

Pemain digelar 'Messi Tranung' berusia 26 tahun itu berazam menjadi watak penting dalam aksi mendebarkan itu untuk merebut tiket ke pentas final.

"Pertemuan kedua nanti lebih menarik kerana masing-masing sudah pasti akan bermain bermati-matian untuk ke final, tetapi kami percaya jurulatih sudah merangka strategi lebih mujarab. Jika diturunkan, saya akan buat yang terbaik untuk mencatat kemenangan walaupun bermain di tempat mereka.

"Selain itu secara peribadi saya mahu merekod pencapaian terbaik kerana sepanjang karier, ini adalah separuh akhir pertama dan berharap mampu mara ke final," kata pemain berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Musim lalu, Mohd Faiz yang mengidam untuk beraksi bersama skuad kebangsaan adalah seorang pemain paling menonjol dalam skuad Penyu kerana bijak menyelinap masuk dalam kotak penalti lawan selain mampu menghasilkan jaringan melalui set-piece.

Ketika aksi suku akhir kedua bertemu FELDA United sebelum ini, pemain itu bertindak cemerlang merencana jentera tengah pasukan sehingga mendapat pujian daripada jurulatih skuad The Fighters itu, B Sathianathan.

"Saya akan berusaha mempamerkan aksi seperti bertemu FELDA dan berharap kesan kecederaan lama akan pulih sepenuhnya menjelang perlawanan itu nanti.

"Saya juga menuntut rakan sepasukan mempamerkan aksi terbaik selain mengharapkan taktikal yang diterap jurulatih mampu membawa kami ke final piala berprestij itu," kata Mohd Faiz yang kini berada dalam radar pasukan lain musim depan. - Harian Metro