Tengku Hazman Bakal Angkat Kaki?


KUALA TERENGGANU: Selepas membantu Terengganu FC II (TFC II) menjulang trofi sulung Piala Cabaran musim ini, pengendalinya, Tengku Hazman Raja Hassan bakal 'angkat kaki' selepas ditawarkan kontrak pasukan lain musim depan.

Malah ‘saham’ bekas pemain kebangsaan itu melambung selepas sentuhan magisnya berjaya membantu skuad The Turtles bangkit daripada episod duka apabila tersingkir ke saingan Piala FAM, musim depan.

“Sebelum final ini, saya menerima tawaran pasukan lain untuk musim depan, tetapi belum ada hitam putih lagi kerana ia cuma secara lisan. Lagi pun, ketika itu saya belum memikirkan sangat tawaran berkenaan.

“Selepas ini saya tidak tahu lagi apa akan berlaku, namun saya akan memikirkan tawaran pasukan Liga Perdana itu secara serius demi kerjaya sebagai jurulatih,” kata Tengku Hazman selepas tamat aksi akhir kedua Piala Cabaran, semalam.

Pada perlawanan itu, skuad The Turtles yang berbekalkan keputusan 2-2 dalam perlawanan akhir pertama di tempat lawan pada 8 Oktober lalu, tidak berdepan masalah menundukkan UKM 2-0, sekali gus menang dengan agregat 4-2.

“Ini pencapaian terbaik pasukan selepas merudum dalam aksi Liga Perdana. Mungkin ada yang menggangap piala yang pertama kali diperkenalkan ini tidak ada nilainya, tapi saya tetap meletakkan trofi ini ada prestijnya tersendiri.

“Jika dilihat komitmen dan kesungguhan pemain sejak awal lagi, jelas mereka bersemangat untuk memburu piala itu, saya cuku berbangga,” katanya yang menggantikan tugas Mustaffa Kamal Wahab, bermula saingan Piala Cabaran itu.

Sementara itu, pengendali UKM, Sulaiman Hussin menyerahkan nasibnya kepada pengurusan selepas gagal membantu skuad The Varsity Boys muncul juara selain gagal memburu slot ke saingan Liga Super, musim depan.

“Saya serahkan kepada majikan UKM, jika mereka masih mahukan khidmat saya, saya akan teruskan, jika saya dapat tawaran pasukan lain, saya akan pertimbangkan,” katanya. - Berita Harian