Tengku Hazman Optimis, Berharap Pemain Tidak..

Posted on Monday, October 15, 2018 | 10/15/2018



KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan tidak menganggap Piala Cabaran sebagai trofi ‘tiada kelas’ atau sampingan.

Sebaliknya beliau menganggap piala edisi sulung itu mempunyai nilai dan prestijnya tersendiri biarpun tidak sama dengan Piala Malaysia, Piala FA dan trofi Liga Super.

“Nilai piala ini tinggi buat pasukan kerana kami menyertainya dan akan memastikan kejuaraan edisi sulung ini menjadi milik kami.

“Saya begitu lapar untuk mendakap piala biarpun pernah menang sebelum ini sebagai pemain. Oleh itu saya juga harap pemain dapat merasai apa yang saya rasa dan bermain dengan bersungguh-sungguh,” kata Tengku Hazman ketika ditemui pada sidang media di sini petang tadi.

Beliau optimis pasukan kendaliannya mampu merangkul kejuaraan buat julung kali pada perlawanan akhir kedua malam ini bertemu UKM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Tengku Hazman yang sebelum ini menggalas tugas sebagai penolong jurulatih berkata, jika nasib berpihak kepada skuadnya, kejayaan itu adalah hadiah paling manis yang dikecapi selepas aksi suram sepanjang Liga Perdana.

“Ini pertemuan keenam antara TFC II dengan UKM, jadi sudah semestinya kami mengetahui kelebihan serta kekurangan pasukan masing-masing.

“Justeru saya ingatkan pemain perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada selain perlu mengelak daripada melakukan kesalahan ‘bodoh’ bagi tidak mengganggu rentak perlawanan kerana final ini masih terbuka buat kedua-dua pasukan,” katanya.

Pada aksi final pertama awal minggu ini, TFC II berjaya mengikat UKM 2-2 di Stadium Shah Alam.

Sementara itu, pengendali UKM, Sulaiman Hussin turut berharap kejuaraan edisi sulung itu menjadi milik pasukannya walaupun beraksi di tempat lawan.

“Ini peluang terbaik kami untuk melakar kemenangan dan saya yakin pemain juga mempunyai hasrat sama.

“Pemain kami akan berusaha mempamerkan aksi terbaik, bermain di tempat sendiri atau tempat lawan tidak menjadi masalah bagi kami untuk menjulang trofi ini,” kata Sulaiman. - Berita Harian
Blog, Updated at: 10/15/2018

0 comments:

Loading...