Terengganu FC Tak Akan “Parking Bas” - Irfan Bakti


KUALA TERENGGANU: Meskipun hanya membawa bekalan tipis berbaki 90 minit untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos 20 Oktober ini, pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui beliau tidak tertekan dengan situasi itu.

Sebaliknya jurulatih berpengalaman berusia 67 tahun itu berkata, beliau ada ramuan tersendiri untuk memerangkap skuad Harimau Selatan itu dalam misi melangkah ke pentas final walaupun misi berkenaan pastinya getir.

“Bermain di depan ribuan peminat mereka pastinya memberi sedikit kelebihan kepada skuad JDT, tapi kami sudah merangka strategi dan taktikal tersendiri yang bakal diterapkan kepada pemain dalam perlawanan penting itu.

“Kami tidak sesekali mengamalkan corak bertahan, lagipun berapa lama kita boleh bertahan menahan asakan lawan dalam masa yang panjang itu, sebaliknya strategi menyerang untuk mendapatkan jaringan awal bakal digunakan kerana sedar bekalan satu gol tidak banyak.

“Justeru apa yang kami terapkan kepada pemain ialah perlu tenang dan fokus ketika beraksi serta lebih berdisiplin menutup ruang untuk mematikan jentera lawan bermula di bahagian tengah lagi,” kata Irfan.

Bercakap mengenai kesebelasan utama pasukannya, Irfan yang layak dilabel pakar taktikal masih mahu merahsiakan pemain bakal diturunkan nanti, namun semua pemain tonggaknya bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan.

“Peluang pasukan kami untuk melangkah ke final tetap ada, malah pemain kini makan bersemangat berdasarkan sesi latihan, tapi apa yang kami harapkan pemain tidak melakukan kesilapan mudah untuk elak dihukum,” katanya.

Musim ini Irfan yang pernah membimbing kelab Persipura Jayapura dalam Liga Indonesia berhajat mengulangi pencapaian 2011 apabila membantu skuad Penyu mara ke final Piala Malaysia sebelum tewas kepada Negeri Sembilan 1-2.

 - Berita Harian