Bumbung Stadium Sultan Mizan Akan Dibina Semula


KUALA NERUS, 19 November - Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin  yang runtuh pada tahun 2009 dan 2013 akan dibina semula dalam projek naik taraf dan pembaikan Kompleks Sukan Gong Badak yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan fasa pertama projek tersebut yang melibatkan naik taraf Padang Lawn Bowl dengan kos RM6.15 juta yang berjaya disiapkan oleh Jabatan Kerja Jaya (JKR).

“Terima kasih kepada kontraktor utama iaitu Sincere Image Sdn. Bhd. kerana berjaya menyiapkan projek ini lebih awal daripada tarikh akhir yang dijadualkan.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada cadangan mereka bagi membina bumbung baru Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan pembaikan padang ragbi di kompleks sukan untuk keselesaan atlet.

“Kita berhasrat untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada atlet Terengganu. Kerajaan negeri berusaha untuk menaik taraf kemudahan sedia ada supaya menjadi venue bertaraf antarabangsa,” katanya ketika hadir dalam Majlis Penyerahan Padang Lawn Bowl di Kompleks Sukan Gong Badak, hari ini.

Projek itu melibatkan naik taraf Padang A dan B, pembinaan bumbung Padang A dan baik pulih rumah kelab dan infastruktur.

Dr. Mamad berkata, lanjutan projek itu adalah pembinaan asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan naik taraf padang.

“Untuk makluman, pembinaan bumbung buat masa ini terpaksa ditangguhkan berikutan kekangan kewangan yang dihadapi negeri ketika ini. Sekiranya masalah itu dapat diatasi, kita akan laksanakan.

“Ada beberapa pemaju yang hadir mengemukakan cadangan reka bentuk bumbung termasuk satu syarikat daripada Australia, tetapi kita belum membuat sebarang keputusan lagi.

“Kita mahu pastikan bumbung tersebut tahan dan kukuh untuk jangka masa panjang dan berfungsi dengan baik melindungi ruang yang perlu ditutup dengan harga yang munasabah.

“Bagaimanapun, stadium itu akan tetap digunakan dari masa ke masa selagi projek belum dilaksanakan. Padang bola sepak stadium  juga perlu diperbaiki kerana berlaku takungan air dan ia akan dilaksanakan segera,” katanya kepada pemberita dalam majlis itu.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rosman Roslan merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pengarah JKR Negeri, Ir. Che Kamarudin Bahar, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Presiden Persekutuan Lawn Bowl Malaysia, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan wakil Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Fakhrol Ruzi Ibrahim. -  Teganukita