Ismail Faruqi, Shahril Saari Kepingin Sertai Terengganu FC

Posted on Friday, November 16, 2018 | 11/16/2018



KUALA TERENGGANU: Bekas penjaga gol PKNS FC, Shahril Saari mengakui pada mulanya dia begitu teruja apabila namanya dikatakan berada dalam radar pasukan negeri kelahirannya, Terengganu FC (TFC) musim depan.

Namun khabar gembira itu bagaikan mimpi di siang hari apabila namanya hanya berada di laman sosial bukannya dalam senarai pemain skuad Penyu musim depan seperti yang tular.

“Pada mulanya saya begitu gembira selepas melihat dalam laman sosial nama saya salah seorang yang tersenarai dalam pasukan negeri sendiri musim depan dan perkhabaran itu diperkuatkan lagi dengan permohonan saya untuk berkhidmat dengan Terengganu.

“Namun impian itu berkecai apabila difahamkan khidmat saya tidak diperlukan TFC musim depan walaupun sejak tiga tahun lalu saya memohon untuk beraksi bersama pasukan itu.

“Malah lebih mengecewakan permohonan saya ini bagaikan tidak dilayan selain tiada sebarang perbincangan dengan pengurusan skuad itu setakat ini.

“Jika ikutkan hati memang kecewa, lebih-lebih lagi setakat ini saya belum terima tawaran pasukan lain, tapi apa boleh buat, saya harap pengurusan skuad itu menimbang semula permohonan saya,” kata Shahril yang pernah menyarung jersi Sabah, T-Team dan Sarawak.

Sementara itu bekas arkitek Terengganu FC II (TFC II), Ismail Faruqi Ashari mendedahkan dia kesal dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan namanya beraksi bersama skuad Melaka musim depan.

“Setakat ini saya belum pasti lagi akan bermain dengan pasukan mana musim depan, namun saya harap akan ada sinar bersama skuad TFC, lagipun saya masih menunggu jawapan daripada pasukan itu,” kata Ismail yang juga bekas pemain kebangsaan. - Berita Harian
Blog, Updated at: 11/16/2018

0 comments: