PBSNT Hampir Selesaikan Skuad 2019

Posted on Saturday, November 03, 2018 | 11/03/2018



Senarai penuh pasukan TFC musim depan akan dimuktamadkan beberapa hari lagi, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.

Mandat proses pembentukan skuad Sang Peteh, kata Hishamuddin, diberikan sepenuhnya kepada pengendali, Irfan Bakti Abu Salim, tanpa campur tangan PBSNT.

Hishamuddin turut senada dengan jurulatih berpengalaman itu -- yang kini berada di Eropah -- agar peminat setia TFC menerima apa jua keputusan yang akan diumumkan kelak.

"Irfan Bakti cukup profesional dalam membimbing anak-anak buahnya dan sering memberi maklum balas kepada persatuan. Itu yang membuatkan kami cukup selesa.

"Hanya tinggal lima hingga 10 peratus untuk menyelesaikan skuad 2019," jelasnya yang juga timbalan pengerusi belia, sukan dan NGO negeri.

Irfan Bakti sebelum ini mengesahkan sekurang-kurangnya empat tonggak, termasuk seorang awang import, tidak akan bersama TFC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019.

Musim ini, TFC diperkuatkan ayam tambatan, Kipre Tchetche, pemain tengah berpengaruh, Lee Tuck, Igor Zonjic (Serbia), pemain kebangsaan Kemboja, Thiery Chantha Bin dan Do Dong-hyun. - Arena
Blog, Updated at: 11/03/2018

0 comments:

Loading...