Selepas Selatan, Kini Utara, Apa Keputusan Kipre?

Posted on Friday, November 02, 2018 | 11/02/2018



KUALA TERENGGANU: Penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche enggan mendedahkan pasukan yang bakal diwakilinya musim depan sebaliknya memerlukan sedikit masa untuk memutuskan destinasinya selepas ini.

"Buat masa ini saya tidak mahu umumkan lagi pasukan mana yang akan diwakili musim depan, tunggu... mungkin seawal  minggu depan saya akan maklumkan sama ada akan terus kekal bersama TFC atau sebaliknya," kata Tchetche.

Penyerang kelahiran Ivory Coast itu berkata demikian selepas ditanya sama ada akan terus menyarung jersi skuad Penyu ataupun beralih angin bersama pasukan lain.

Sebelum ini pemain yang digelar 'Drogba Ganu' itu sudah ditawarkan kontrak baharu oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), namun pemain berusia 30 tahun itu meminta sedikit masa untuk memutuskan perkara berkenaan.

Difahamkan alasan mengapa penjaring terbanyak saingan Piala Malaysia musim ini dengan sembilan gol itu menangguhkan persetujuan bersama skuad Penyu adalah berkaitan gaji.

Selain TFC yang mahukan penyerang lincah itu terus menyarung jersi skuad itu, pasukan dari Utara dan Selatan tanah air juga dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat penjaring kedua terbanyak Liga Super musim ini itu.

Sementara itu pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim yang kini berada di luar negara enggan mengulas lebih lanjut berhubung kedudukan bekas pemain kelab Al-Suwaiq (Liga Oman) itu.

Sebaliknya beliau masih menunggu keputusan muktamad daripada pemain itu sama ada berminat untuk terus menyarung jersi TFC ataupun meninggalkan pasukan itu.

"Lee Tuck masih ada baki kontrak setahun lagi bersama TFC musim depan tapi kedudukan terkini Tchetche saya tidak tahu," katanya melalui aplikasi WhatsApp yang mengharapkan pemain itu terus kekal bersama TFC musim depan. - Berita Harian
Blog, Updated at: 11/02/2018

0 comments:

Loading...