Terengganu City FC Hilang Kelayakan Beraksi Musim 2019

Posted on Tuesday, November 13, 2018 | 11/13/2018



Juara Piala FAM, Terengganu City FC (TCFC), bukan sahaja boleh melupakan hasrat  ke Liga Perdana musim depan, malah mereka juga hilang kelayakan untuk beraksi pada musim 2019.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT).

Dua isu yang menjadi penghalang TCFC adalah tunggakan gaji yang berlarutan dan keengganan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memberikan kelulusan.

Situasi itu meletakkan TCFC tidak boleh beraksi di mana-mana pentas Liga Malaysia, musim depan.

"Kami terpaksa menidakkan penyertaan TCFC kerana terdapat beberapa isu yang tidak dapat mereka selesaikan.

"Salah satunya adalah tunggakan gaji.

"Pihak PBSNT telah menghantar surat kepada FAM yang menyatakan mereka menarik balik sokongan terhadap TCFC disebabkan kegagalan tersebut," kata Yusoff.

Terengganu FC II (TFC II) yang mengakhiri cabaran Liga Perdana di tangga tercorot menjadi calon utama menggantikan TCFC.

Namun, semuanya bergantung kepada kelulusan Malaysia Football League (MFL) selain minat daripada Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk ke Liga Perdana.

"TFC II menjadi juara Piala Cabaran dan wajar dikekalkan dalam saingan Liga Perdana, namun segalanya terpulang kepada keputusan MFL," tambahnya.  - Arena
Blog, Updated at: 11/13/2018

0 comments:

Loading...