Irfan Bakti Harap Penyokong Terengganu FC Sabar

Posted on Thursday, December 27, 2018 | 12/27/2018



KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menafikan berlengah atau menyembunyikan status pemain import kelima skuad itu.

Sebaliknya, jurulatih berpengalaman itu berkata, faktor pemain import dari Asia Tengah yang masih mempunyai kontrak dengan kelabnya menyebabkan nama pemain itu tidak dapat diumumkan lagi.

"Saya harap peminat bersabar, jika tidak ada halangan pemain itu yang bakal beraksi di jentera tengah TFC akan tiba di Kuala Terengganu sama ada 3 atau 4 Januari ini.

"Ini kerana pemain berkenaan masih beraksi dengan kelab di negaranya sebelum kontraknya berakhir pada akhir bulan ini. Selepas itu baru boleh kita umumkan nama pemain berkenaan," katanya kepada Sukan NSTP.

Sepatutnya pemain itu tiba di Kuala Terengganu pada 15 Disember lalu, namun masalah kontrak dan pelepasan daripada kelabnya menyebabkan urusan berkenaan ditangguhkan awal tahun depan.

Sebelum ini, skuad Penyu mengekalkan empat awang import musim ini iaitu penyerang dari Ivory Coast, Kipre Tchetche, pemain tengah berdarah kacukan Malaysia-England, Lee Tuck, Thierry Chantha Bin dari Kemboja dan Igor Zonjic dari Montenegro.

Pemain tengah menyerang dari Korea Selatan, Do Dong Hyun tidak disambung kontrak selepas gagal memberi impak berkesan kepada skuad naib juara Piala Malaysia musim ini itu.

"Perbincangan lanjut dengan pemain itu berjalan lancar, cuma kami menanti kehadirannya dan dia dijangka diturunkan dalam aksi persahabatan bertemu Kelantan, 5 Januari ini," katanya. - Berita Harian

Blog, Updated at: 12/27/2018

0 comments:

Loading...