Izuan Rosli Mahu Balas Kepercayaan Irfan Bakti


KUALA TERENGGANU: Penyerang baharu skuad Terengganu FC (TFC), Khairul Izuan Rosli tidak sanggup dilabel sebagai penumpang atau pelengkap senarai dalam pasukannya, sebaliknya mahu membuktikan dia memang bernilai.

Jadi, bekas pemain Negeri Sembilan itu mahu membalas kepercayaan yang diberikan Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim dengan merebut slot kesebelasan utama, walaupun sedar ia bukan tugas mudah.

"Setiap pemain pasti mengimpikan untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan termasuk saya, terutama di bawah kendalian Irfan Bakti.

"Bukan mudah untuk berada dalam skuad utama, tetapi itulah cabarannya dan saya akan berusaha lebih gigih untuk bersaing,” kata Izuan kepada Sukan NSTP.

Sebelum ini pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga diintai dua lagi pasukan Liga Super iaitu PKNS FC dan FELDA United, namun bekas anggota skuad Harimau Muda itu memilih TFC sebagai destinasinya bagi musim 2019.

"Ia bukan soal berkaitan gaji, tetapi saya lihat pemain skuad ini mempunyai semangat juang tinggi sebagai pasukan juara, seperti yang dipamerkan ketika muncul naib juara Piala Malaysia musim ini.

"Selain itu, keinginan untuk menimba ilmu dengan jurulatih berpengalaman, (Irfan Bakti) juga menyebabkan saya menolak tawaran pasukan lain.

"Saya harap keputusan ini tepat dalam misi membantu TFC mencapai sasaran merangkul sekurang-kurangnya satu trofi musim depan," kata Izuan. - Berita Harian