Syamim Yahya Tekad Julang Satu Piala Bersama Terengganu FC


KUALA TERENGGANU: Ibarat sirih pulang ke gagang. Itu ungkapan paling sesuai boleh digambarkan kepada Ahmad Syamim Yahya yang kembali berkhidmat di bumi Terengganu walaupun dengan pasukan berbeza.

Bekas pemain kebangsaan itu yang pernah menyarung jersi skuad T-Team pada 2013, mengikat kontrak bersama skuad Terengganu FC (TFC) musim depan selepas meninggalkan skuad lamanya, FELDA United.

"Walaupun situasi ketika beraksi bersama T-Team lima tahun lalu pastinya berbeza apatah lagi ketika itu saya baharu berumur 23 tahun, tapi kehadiran semula ke Terengganu tetap mempunyai misi yang sama.

"Seperti mana pemain lain, saya bertekad merangkul sekurang-kurangnya satu trofi bersama Terengganu, lebih-lebih lagi setakat ini baharu satu kejuaraan Liga Perdana berjaya diraih," katanya.

Ketika ditanya kenapa memilih TFC sedangkan tiga lagi pasukan daripada Liga Super juga mahukan khidmatnya musim depan, anak kelahiran Raub, Pahang itu mengakui faktor ketua jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim) menyebabkan dia menyertai skuad Penyu.

"Saya mendapat panggilan daripada Irfan, jadi  tidak mahu melepaskan peluang itu, lebih-lebih lagi  sudah biasa dengannya yang juga antara jurulatih paling lama  pernah saya berguru.

"Selain itu, faktor ramai rakan sepasukan dalam skuad TFC ini menguatkan saya untuk memilih skuad ini," kata pemain sayap kiri berketinggian 1.83 meter itu. - Berita Harian