Terengganu FC Mula Uji Keserasian Pemain


KUALA TERENGGANU: Biarpun saingan Liga Malaysia (Liga M) berbaki kira-kira lima minggu lagi sebelum sepak mula, pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim sudah mula menguji pemainnya terutama muka baharu.

Irfan Bakti mahu menilai tahap keserasian serta persefahaman melalui aksi persahabatan pertama berdepan TAL ALL STARS di Padang C, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, hari ini.

Selepas itu, mereka akan bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu bertemu pasukan Kelantan pada 5 Januari depan.

"Perlawanan ini penting buat kami untuk menilai sejauh mana kelemahan dan kekuatan pasukan termasuk keserasian pemain, kerana kami mempunyai masa lagi untuk memperbaikinya menjelang liga nanti.

"Setakat ini, saya sudah nampak keserasian yang dipamerkan, ini disebabkan struktur asal pemain tidak banyak berubah kerana sebahagian besarnya adalah pemain yang sama sebagaimana musim ini," kata Irfan Bakti kepada Sukan NSTP.

Naib juara Piala Malaysia 2018 itu hanya kehilangan tiga tonggak utamanya iaitu Abdul Latiff Suhaimi dan Mohd Faiz Nasir yang berhijrah ke Selangor, manakala J.Partiban memilih negeri kelahirannya, Perak musim depan.

Mengenai prestasi 10 pemain baharunya, jurulatih berpengalaman itu memberikan reaksi positif, - tanda berpuas hati.

Antara pemain terbabit ialah bekas pemain tengah FELDA United, Ahmad Syamim Yahaya dan Khairu Azrin Khazali serta tiga bekas pemain Negeri Sembilan - penjaga gol, Ilham Amirullah Razali; Khairul Anwar Shahruddin dan Khairul Izuan Rosli.

"Secara keseluruhannya mereka mempamerkan aksi positif ketika sesi latihan biarpun belum serasi sepenuhnya, tetapi saya berkeyakinan sebelum liga bermula awal Februari nanti pemain ini bakal menyinar," kata Irfan Bakti. - Berita Harian