Igor Zonjic Mahu Tebus Duka Musim Lalu

Posted on Sunday, January 06, 2019 | 1/06/2019



KUALA TERENGGANU: Selepas gagal membantu Terengganu FC (TFC) merangkul trofi Piala Malaysia musim lalu, pertahanan import skuad itu, Igor Zonjic mempunyai dua misi yang perlu diselesaikan.

Bekas pemain skuad kebangsaan Montenegro itu berkata, misi pertamanya adalah untuk membantu pasukan meraih trofi musim ini selepas sekadar muncul naib juara musim lalu.

"Misi kedua pula untuk memperagakan permainan lebih baik dan bertenaga sepanjang musim selain mahu beraksi dalam kesemua perlawanan bagi menebus kembali kesilapan musim lalu ketika final Piala Malaysia bertemu Perak," katanya kepada Sukan NSTP.

Pemain berketinggian 1.86 meter itu sebelum ini menjadi punca kekecewaan peminat setia skuad Penyu apabila secara tidak sengaja tertampan bola masuk ke gawang sendiri pada perlawanan akhir musim lalu.

"Selepas saya jaringkan gol sendiri dalam perlawanan itu, hampir tiga hari saya tidak mampu lelapkan mata mengenangkan peristiwa malang itu ketika peminat sudah bersorak gembira untuk meraikan kemenangan.

"Bagaimanapun kini saya sudah melupakan episod malang itu lebih-lebih lagi semua rakan sepasukan, pihak pengurusan dan penyokong sentiasa bersama dan terus memberikan semangat untuk saya terus ke hadapan,” kata Zonjic yang mengakui nikmat beraksi dalam final Piala Malaysia cukup berbeza. - Berita Harian
Blog, Updated at: 1/06/2019

0 comments: