Aiman pecut ‘gear lima’

HULU LANGAT – Calon Pakatan Harapan (PH) sudah memasuki ‘gear lima’ dalam berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Muhammad Aiman Zainali berkata, sehingga kini, semua pusat daerah mengundi telah dilawatinya.

Beliau setakat ini berpuas hati dengan jentera pilihan raya PH sepanjang dua minggu berkempen.

“Kita akan pergi ke semua jentera untuk bagi semangat kepada mereka, kita akan bagi sentuhan terakhir.

“Kalau ada gear enam, sekali gear enam juga kita pergi,” katanya kepada pemberita sewaktu menghadiri program demonstrasi membuat kek brownies di pusat komuniti Kampung Baru Cina di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Ditanya mengenai kritikan warganet terhadapnya, Muhammad Aiman berkata, kritikan terhadapnya dalam media sosial membuatkan dirinya lagi membara untuk berjuang.

Jelasnya, kritikan warganet akan dianggap sekadar gurauan dan beliau akan terus berkempen.

“Dari awal lagi saya kata kita akan berkempen secara sihat, mengikut undang-undang dan sekarang kita berada di landasan terbaik. Insya-Allah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com