Aktiviti pelombongan bauksit diteruskan semula kerana ia menguntungkan kerajaan

Posted on Tuesday, February 19, 2019 | 2/19/2019


TEMPOH moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang yang akan berakhir pada 31 Mac depan tidak akan dilanjutkan, umum Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar hari ini.

Berikutan dengan pengumuman itu, semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan semula, namun kali ini dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.

“Moratorium tidak akan dilanjutkan selepas 31 Mac ini…Saya nampak industri bauksit di negeri Pahang ini memang ada permintaan yang tinggi dan dan keuntungan yang diperoleh oleh kerajaan juga banyak.

“Pada 2015 sahaja kerajaan negeri direkodkan menerima RM47 juta hasil pembayaran royalti, kerajaan pusat kita tidak dapat apa-apa bahagian, hanya beri kelulusan untuk permit import (AP) sahaja.

“Dalam perbincangan dengan semua pihak berkepentingan sebelum ini tidak ada satu pun yang menyatakan kita kena hentikan industri bauksit di Pahang, sama ada pemimpin politik tempatan mahupun kerajaan negeri semua bersetuju industri ini ada potensi besar dan ia perlu diteruskan,” katanya.

Dr Xavier berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan penyimpanan bauksit di sekitar daerah ini dan Pelabuhan Kuantan di Kuantan hari ini.

Menurutnya dalam masa yang sama, sebanyak 435,000 tan metrik yang masih berada di kawasan penyimpanan di Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman perlu dikosongkan segera dalam tempoh sebulan sebelum 31 Mac depan.

Ini kerana, katanya bermula dalam SOP baharu yang akan diperkenalkan nanti, hanya bauksit yang telah dicuci, dibenarkan untuk dieksport demi menjaga alam sekitar.

“Kementerian dengan kerjasama pihak yang berkenaan telah menyediakan satu SOP baharu dan saya minta kerjasama dengan semua pihak yang berkenaan khususnya pelombong supaya mematuhi syarat dan peraturan yang kami tetapkan.

“Mana-mana pemain industri ini yang ingkar boleh dikenakan hukuman maksimum denda sebanyak RM500,000 dan tiga bulan penjara jika didapati melakukan pencerobohan dan perlombongan secara haram mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

“Kami akan kuatkuasakan SOP itu jadi pihak industri akan mematuhi apa yang kami tetapkan, itu adalah penting,“ katanya.

Dr Xavier berkata SOP baharu itu disediakan dengan teliti meliputi empat aspek penting iaitu pengurusan ekstrak bauksit, pengangkutan dan penguatkuasaan, kawasan penyimpanan dan pengurusan di pelabuhan serta pengeksportan bauksit.

Menurutnya aspek yang menjadi tumpuan sebelum ini ialah berkenaan pengangkutan dan penguatkuasaan yang longgar sehingga berlakunya pencemaran alam sekitar sekali gus membawa kepada pelaksanaan moratorium aktiviti itu pada 15 Jan 2016.

Beliau berkata bagi mengatasinya, setiap pelombong yang terlibat perlu mendaftar dengan Pejabat Tanah dan Galian negeri selain hanya lori daripada jenis telah ditetapkan sahaja yang akan dibenarkan untuk mengangkut bahan berkenaan dari kawasan penyimpanan ke pelabuhan.

“Jika SOP ini berjaya dilaksanakan tanpa masalah, kami akan perluaskan pelaksanaannya ke negeri lain yang juga mempunyai bauksit iaitu Terengganu dan Johor. Setakat ini Terengganu menunjukkan minat (eksport bauksit) tetapi kementerian akan berbincang dahulu dengan kerajaan negeri bagaimana untuk melaksanakan industri ini” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya kementerian telah diminta oleh jemaah menteri untuk mengkaji kawasan yang kaya dengan bahan mineral untuk diteroka berikutan permintaan yang tinggi di pasaran termasuk bijih timah.

Dr Xavier berkata berikutan itu kementerian akan mengadakan simposium dan pameran pada masa akan datang untuk melihat tentang perkara itu.

– Bernama



Sumber: cempedakcheese.com
Blog, Updated at: 2/19/2019

0 comments:

Loading...