Bekas pekerja ECRL ceroboh istana kerana mahu cari kerja

SEORANG penganggur diperintah menjalani bon berkelakuan baik tanpa cagaran selama dua tahun kerana memasuki kawasan larangan Istana Kubang Kerian, bulan lalu.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Kamarul Hasyime Rosli di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini selepas tertuduh, Muhammad Faiz Ismail, 37, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat memasuki kawasan istana tanpa kebenaran melalui pagar post pintu tengah pada 3.45 petang, 2 Januari 2019.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Kawasan Larangan Tempat Larangan 1959 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7 akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sebanyak RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Raja Mohd Afiq Raja Azmi.

Raja Mohd Afiq memohon mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh perlu menanggung seorang isteri dan anak berusia dua tahun.

“Anak guam saya menganggur selepas diberhentikan kerja di Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan dia (tertuduh) difahamkan terdapat kerja kosong sebagai tukang kebun di istana, menyebabkannya masuk ke kawasan berkenaan.

“Saya memohon supaya mahkamah tidak mengenakan hukuman berat kepadanya berikutan niatnya untuk mencari pekerjaan,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com