Calon PH berjanji lebih mesra rakyat jika menang PRK Semenyih

HULU LANGAT: Calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, 30, memberi jaminan dirinya mudah didekati dan tiada sebarang protokol jika rakyat ingin menemuinya.

Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Hulu Langat itu berkata, beliau tidak akan sesekali meminggirkan rakyat jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih yang baharu.

“Saya seorang yang mudah didekati, jika terjumpa tepi jalan dan ingin mengemukakan aduan, panggil lah saya. Saya tidak akan meminggirkan mereka. Itu jaminan saya.

“Yang mengenali saya, mereka sudah tahu yang mereka boleh datang kepada saya kerana itu adalah tugas saya untuk berkhidmat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra Taman Semenyih Indah di sini, hari ini.

Muhammad Aiman berkata, visinya jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat menerusi agensi kerajaan yang berkaitan.

“Ada yang memanggil saya tuan, namun saya akan meminta mereka terus memanggil saya sebagai Aiman kerana saya mahukan mereka berasa lebih selesa dengan saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan pengundi dalam kempen yang memasuki hari keenam hari ini, jelas positif dan berharap momentum itu akan terus kekal sehingga hari pengundian pada 2 Mac depan.

“Saya amat yakin sokongan kepada PH amat kuat dan yakin akan menang pada pilihan raya kali ini,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com