Harga minyak global susut

HARGA minyak menyusut pada Khamis, berikutan kemerosotan ekonomi China dan peningkatan output minyak mentah Amerika Syarikat.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$66.23 satu tong pada 0129 GMT, susut 16 cent, atau 0.2 peratus daripada penutup terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$56.90 satu tong, susut 4 cent.

Harga diheret turun berikutan peningkatan pengeluaran minyak mentah AS, yang mana ia meningkat lebih dua juta tong sehari (bpd) sepanjang tahun lalu kepada 12.1 juta bpd.

Selain itu, ekonomi China yang lemah turut memberi tekanan kepada harga.

Aktiviti perkilangan di China, pengimport minyak terbesar dunia, menyusut untuk tiga bulan berturut-turut pada Februari dan mencecah paras rendah tiga tahun.

Bagaimanapun, pasaran minyak terus mendapat sokongan daripada langkah memotong bekalan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dengan negara bersekutu seperti Russia.

Pakatan itu pada tahun lalu bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.2 juta bpd untuk menaikkan harga minyak. – REUTERS



Sumber: cempedakcheese.com