Hina Nabi: PAS tunggang agama untuk kepentingan politik – Mujahid

BANGI – Mujahid Yusof Rawa mempersoalkan keperluan menganjurkan himpunan bantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad selepas kerajaan bertindak terhadap pihak-pihak yang didakwa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri bimbang PAS menggunakan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad untuk tujuan politik.

“Tindakan pantas telah kita buat dan sepatutnya mereka sokonglah, kenapa nak berhimpun?” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pondok Kebangsaan 2019.

“Saja nak gembar-gemburkan (mereka) lebih mempertahankan Nabi daripada (orang) lain. Ini kita kata mereka tunggang agama untuk kepentingan politik.”

PAS dalam kenyataan berkata himpunan membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad akan diadakan di selurhu negara esok bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap seorang pengguna Facebook, Foo Sing Wai.

Foo didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas 2 tuduhan menghina Nabi Muhammad dan isterinya, Aisha Abu Bakar dengan karikatur berunsur penghinaan di Facebook minggu lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mujahid menepis dakwaan mengatakan kerajaan tidak bertindak terhadap individu-individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad, menggesa semua pihak menghormati proses undang-undang.

“Sebagai orang Islam mana ada yang mahu memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk menghina nabi.

“Kita syaki ada pihak nak kekalkan kebencian konon kita tak ambil tindakan bagi membuka ruang untuk buat himpunan besar-besaran membantah hina nabi,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com