Kru kapal sempat makan tengah hari sebelum gantung diri

Posted on Tuesday, February 19, 2019 | 2/19/2019


CHUKAI – Kru kapal yang ditemui mati dalam keadaan tergantung di sisi kapal bekalan luar pesisir dekat Pelabuhan Kemaman,di sini hari ini, dikatakan mengalami kemurungan dan baru tiga hari bekerja di kapal berkenaan.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 38 tahun yang berasal dari Sarawak ditemui rakan sekerjanya tergantung di sisi kapal itu dipercayai membunuh diri, kira-kira 1.30 tengah hari.

Kejadian itu disedari ketika kapal berkenaan mula berlabuh pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari Pengkalan Bekalan Kemaman.

Sumber berkata, sebelum kejadian itu, mangsa sempat bermesyuarat berkaitan hal kerja bersama kru lain di kapal itu.

Katanya, lelaki terbabit dan kru yang lain juga sempat makan tengah hari selepas selesai mesyuarat itu sebelum mereka keluar ke dek kapal.

“Bagaimanapun, selepas 30 minit, seorang kru melihat lelaki itu yang berpakaian seragam tergantung di sisi kapal sebelum memaklumkannya kepada kapten kapal.

“Kapten kapal berkenaan menghubungi pihak pengurusan pelabuhan sebelum mereka menghubungi polis, pada 2.29 petang,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku, mangsa dikatakan melilit seutas tali di lehernya sebelum terjun kira-kira 10 meter dari kapal berkenaan.

Jerutan yang kuat menyebabkan leher mangsa dikatakan hampir putus, malah usaha menaikkan mayat mengalami kesukaran berikutan keadaan laut bergelora.

Mayat mangsa berjaya dinaikkan kira-kira 6 petang sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah di sebalik kejadian itu.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sebelum ini, gambar menunjukkan kelibat manusia berpakaian seragam berwarna oren dalam keadaan tergantung di sisi kapal itu mula tular di laman sosial, sejak petang hari ini.



Sumber: cempedakcheese.com
Blog, Updated at: 2/19/2019

0 comments:

Loading...