Mayat wanita reput ditemui dalam longkang

MAYAT wanita dipercayai mangsa bunuh ditemui sudah reput dalam longkang di Jalan Besar Behrang Hulu-Proton City, di Muallim, petang semalam.

Mayat berkenaan ditemui pada 4.32 petang dalam keadaan meniarap dan mangsa dianggarkan sudah meninggal dunia lebih dari 10 hari berdasarkan keadaannya sudah reput.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata siasatan polis di tempat kejadian menemui satu botol cecair peluntur berhampiran mayat berkenaan.

Menurutnya, botol itu diambil pihak forensik untuk pengesanan cap jari dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati wanita itu dipercayai dibunuh dan penyebab kematian adalah trauma objek tumpul.

“Tiada sebarang pengenalan diri ditemui dan mangsa dianggarkan berusia antara 16 hingga 30 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bangsa serta keadaan fizikal mangsa tidak dapat dipastikan dan ketika ditemui, wanita terbabit memakai baju blaus warna merah serta seluar panjang hitam berjalur putih selain tidak memakai kasut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terdapat kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sebarang maklumat sila hubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Muallim, Asisten Superintendan Wan Rozaman Wan Harun di talian 014-666604,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com