PAS kini gelisah dan risau dengan kekuatan Pakatan Harapan – Salahuddin

Posted on Thursday, February 28, 2019 | 2/28/2019


PUTRAJAYA – Rasa ‘terasing’ dan gelisah melihat kekuatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini mendorong Pas untuk terus mendakwa wujud rancangan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Pas yang dulunya pernah menolak untuk bersama PH, kini risau dengan kekuatan pakatan tersebut selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lepas.

“Kita ajak mereka untuk bersama sebelum ini tetapi mereka enggan. Apabila PH sudah menang, Pas rasa terasing. Jika berterusan begini, Pas boleh dilanda sindrom kemurungan,” kata Salahuddin, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau ditanya mengapa pemimpin Pas terus menimbulkan spekulasi wujudnya komplot untuk membawa undi tidak percaya terhadap kepimpinan Dr Mahathir sedangkan pemimpin PH sudah menafikannya.

Salahuddin, yang juga bekas Naib Presiden Pas, berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2018, di kementeriannya, di sini hari ini.

Isu mengenai undi tidak percaya dibangkitkan selepas pendedahan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan kononnya terdapat dua parti dalam PH mungkin merancang pembelotan terhadap Dr Mahathir. – Bernama



Sumber: cempedakcheese.com
Blog, Updated at: 2/28/2019

0 comments:

Loading...