Patung berhala ‘Datuk Gong’ dicuri sebelum diletakkan di surau

KLANG – Patung berhala ‘Datuk Gong’ yang ditemui bersebelahan pintu masuk utama Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah di sini dipercayai dicuri dari sebuah rumah sebelum diletakkan individu tidak bertanggungjawab di surau tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ini susulan laporan polis yang dilakukan seorang lelaki berusia 50an pukul 9.30 pagi tadi.

Katanya, lelaki tersebut yang merupakan pemilik patung berhala itu menyewa rumah yang didiami itu bersama isteri dan seorang anak lelakinya.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati, kali terakhir lelaki tersebut melihat patung berhala itu pukul 4 petang semalam.

“Ketika itu, lelaki tersebut baharu sahaja membersihkan dan meletakkan kalung bunga hidup pada patung berhala itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, patung berhala berharga RM300 itu diletakkan di luar pada bahagian hadapan pintu pagar utama dalam keadaan tidak berkunci.

Ujar beliau, jarak rumah pengadu dengan surau lebih kurang 50 meter.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan jemaah Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah dekat sini terkejut apabila menemui sebuah patung berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama surau berkenaan, petang semalam.

]Patung berhala itu ditemui pukul 4.15 petang oleh siak surau, Mohd. Yatim Omar, 64, ketika hadir di surau tersebut bagi persiapan solat Asar. – K! ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com