Pembelotan dalam PH, Anwar dakwa PAS berbohong

SHAH ALAM – Pas didakwa berbohong berhubung isu pengkhianatan dalam Pakatan Harapan (PH) terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tersebut hanya dilakukan Pas bagi mengelakkan isu siasatan dana RM90 juta yang diperoleh dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, perkara tersebut tidak berbangkit dan dibincangkan secara dalaman antara parti dalam PH.

“Ini hanya naratif Pas dan apa lagi modal parti itu untuk mengelakkan fokus rakyat tentang RM90 juta itu.

“Pas pernah sebut, bohong untuk selamatkan parti boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama Syarahan Darul Ehsan bertajuk Ke arah Pendidikan Bersepadu dalam Era Malaysia Baharu di Universiti Selangor (Unisel) hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dipetik berkata, surat perakuan bertulis berbentuk contoh yang diserahkan Pas kepada Mahathir adalah untuk menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Pengerusi Bersatu itu jika berlaku pengkhianatan daripada mana-mana parti komponen PH.

Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan tiada keperluan kepadanya untuk berbincang isu itu kepada Mahatir kecuali Pengerusi PH itu membangkitkannya.

“Saya tidak layan (kenyataan Pas itu) perkara ini tidak pernah berbangkit dalam parti-parti PH.

“Kalau Pas, mereka boleh dihalalkan berbohong, jadi tidak tahu pendirian (Pas itu) itu berbohong atau betul. Saya tidak tahu dan kena tanya Pas,” katanya. – K! ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com