Peniaga cedera parah ditetak di Kuala Besut

KUALA BESUT – Seorang pengusaha bengkel kimpalan produk besi dan keluli cedera parah selepas ditetak penjenayah dalam kejadian disyaki bermotifkan dendam di premis perniagaannya di Kampung Teluk Bayu, di sini semalam.

Muhajiri Mat Yazid, 36, putus urat siku tangan kiri dan luka di bahagian dahi akibat ditetak dengan pedang oleh dua suspek tidak dikenali pada pukul 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang berada di bengkelnya bersama seorang pekerjanya yang merupakan jurukimpal berusia 36 tahun.

“Premis perniagaan mereka tiba-tiba dimasuki dua orang lelaki tidak dikenali yang bertopi keledar dan menutup muka masing-masing dengan topeng berwarna hitam.

“Kedua-dua suspek yang bersenjatakan pedang itu kemudiaan terus meluru kepada mangsa yang dikenali penduduk tempatan sebagai Pok Yi lalu menetaknya sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal dipercayai jenis Yamaha 135LC,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com