Polis sahkan insiden Syed Saddiq dan Papagomo hanya salah faham

SHAH ALAM – Insiden melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris, lebih kepada salah faham dan bukannya serangan.

Perkara itu disahkan sendiri Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, yang seterusnya memaklumkan Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali Papagomo akan dibebaskan hari ini.

“Kita sudah melihat kes atau dakwaan ini dan mendapati tidaklah begitu serius berlaku pergaduhan dan sebagainya. Berlaku silap faham, tetapi memang ada tarik-menarik itu.

“Papagomo akan diberi jaminan dan kita akan pastikan siasatan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Wan Muhammad Azri direman tiga hari bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan selepas Syed Saddiq membuat laporan polis mendakwa beliau dicekak Exco Pemuda UMNO itu semasa penamaan calon Pilihan Raya Kecil, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada Sabtu.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan Syed Saddiq, sebaliknya menjelaskan hanya memeluk bahu Menteri Belia dan Sukan itu.

Ekoran insiden berkenaan juga, tular di media-media sosial rakaman yang memperlihatkan bagaimana Wan Muhammad Azri berlari sebelum tangannnya dirakam berada pada bahu Syed Saddiq. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com