Ahli Parlimen DAP mahu Presiden Pas disiasat kerana menghasut orang Islam

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mahu polis menyiasat Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan ahli politik lain yang memomokkan DAP sebagai anti-Islam.

Lim berkata, Ketua Polis Negara, Mohamed Fuzi Harun akan kelihatan lebih profesional jika beliau berbuat demikian susulan kenyataannya bahawa polis mungkin menyoal Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Fuzi bertindak secara profesional apabila beliau berkata Guan Eng mungkin dipanggil untuk soal siasat ‘apabila tiba waktunya’ tetapi, tidak ada keperluan untuk melakukannya, sekarang.

“Bagaimanapun, Fuzi yang akan bersara bulan depan, sepatutnya sama profesional dalam menyiasat banyak lagi kes membabitkan beberapa ahli politik dan individu yang memomokkan DAP dan pemimpin parti itu dengan segala macam kata-kata fitnah, seperti anti-Islam dan anti-Melayu .

“Kenyataan berulang-kali Hadi yang berkata bahawa Malaysia kini menjadi sebuah negara yang dikuasai oleh bukan Islam adalah tidak berasas, fitnah dan dengan niat untuk menghasut belum disiasat” kata Lip Eng dalam satu kenyataan hari ini.

PAS dan Umno berulang-kali mendakwa bahawa kerajaan persekutuan Pakatan Harapan gagal menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam dan mempertikaikan pengaruh DAP yang mempunyai 42 kerusi di Parlimen.

Sekurang-kurangnya 58 laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap Guan Eng berhubung kenyataannya dalam bahasa Cina pada minggu lalu mendesak MCA segera meninggalkan BN kerana Umno dan PAS kini “mengisytiharkan perang” ke atas orang bukan Islam.

Beliau kemudian membuat pembetulan dan menggantikan ungkapan “mengisytiharkan perang” dengan PAS, Umno “sasarkan” bukan Islam.

Kedua-dua kenyataan asal dan versi yang diperbetulkan adalah dalam bahasa Cina, dan dikeluarkan dalam kapasitinya sebagai setiausaha agung DAP.

Lim sedang disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan dengan niat “mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.”



Sumber: cempedakcheese.com