Amaran Buat Kipre Tchetche! - Irfan Bakti


Masalah prestasi yang dialami Kipre Tchetche menyaksikan Terengganu FC (TFC) membuat keputusan untuk memberi amaran kepada kapten pasukan itu.

Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim, berkata dia tiada pilihan selain mengeluarkan surat peringatan selepas pemain Ivory Coast itu tenggelam dalam lima perlawanan Liga Super musim ini.

Nasib Tchetche, begitupun, masih selamat dengan Irfan mengakui masa masih berpihak kepada penyerang berusia 31 tahun itu untuk mengembalikan sentuhan jaringan.

"Tidak perlu saya kongsikan punca masalah, biarlah ia antara kami sahaja, tapi dalam perlawanan yang lepas, saya sudah terfikir untuk mengeluarkannya (Tchetche).

"Walaupun akan diberikan peluang lagi, isu ini tidak boleh berlarutan kerana selaku penjaring kedua terbanyak musim lalu, dia perlu bangkit," kata Irfan.

TFC, yang seri 1-1 dengan Perak malam tadi, gagal memperagakan aksi terbaik dengan Irfan menyifatkan kelonggaran jentera tengah menjadi punca aksi itu dikuasai pasukan lawan.

Pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya dan Khairul Anwar Shahrudin, juga serba tidak menjadi, menyaksikan TFC gagal menembusi kubu Perak sehingga mereka dikeluarkan.

"Kami ada beberapa peluang yang boleh disudahkan (Sanjar) Shaakhmedov jika dia bersikap lebih mementingkan diri dan kadang-kadang dia perlu ada sikap itu," jelasnya. - Arena