Bakal pengantin kongsi cara solat jenazah di Facebook sebelum maut kemalangan

BAKAL pengantin maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh jentera bomba di persimpangan lampu isyarat Batu 4 Jalan Kuala Krai di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, petang tadi.

Dalam kejadian 6.05 petang tadi, Muhammad Afifi Amiri Mohamad Nawawi, 28, dari Tendong, Pasir Mas meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah di kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong Pegawai Bomba Kanan 1 Zainal Fitri Husain berkata, jentera bomba yang menyalakan lampu kecemasan dan siren ketika itu menghala ke Ketereh selepas menerima panggilan kecemasan berhubung satu kejadian kemalangan jalan raya.

“Sebaik tiba di lokasi, lampu isyarat sudah bertukar warna hijau dan kenderaan lain di hadapan jentera mulai bergerak.

“Apabila jentera ingin membelok ke kanan, sebuah motosikal dari arah bertentangan tiba-tiba merempuh di bahagian kiri menyebabkan penunggangnya terjatuh,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

Difahamkan, mangsa akan berkahwin pada 30 Mac nanti dan dikatakan sudah mula mengedar kad jemputan perkahwinannya itu.

Mangssa juga ada memuat naik perkongsian mengenai cara solat jenazah menerusi akaun Facebook miliknya pada pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



Sumber: cempedakcheese.com