Berkahwin Atau Bayar Hutang Bapa

Posted on Sunday, March 31, 2019 | 3/31/2019



Soalan:
Mana lebih utama, antara berkahwin ataupun membayar hutang yang dipinjam oleh bapa? Mohon pencerahan.

Jawapan:
Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَعْظَمَ الذُّنُوبِ عِنْدَ اللهِ أَنْ يَلْقَاهُ بِهَا عَبْدٌ بَعْدَ الْكَبَائِرِ الَّتِي نَهَى اللَّهُ عَنْهَا ، أَنْ يَمُوتَ رَجُلٌ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ ، لاَ يَدَعُ لَهُ قَضَاءً
“Sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba berjumpa dengan Allah -selepas dosa-dosa besar lain yang dilarang keras oleh Allah SWT- ialah seseorang yang mati dalam keadaan mempunyai hutang yang belum dijelaskan sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk melunaskan hutangnya tersebut.” [Riwayat Abu Daud (3342)]

Hal hutang ini turut ditegaskan melalui sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
“Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).” [Riwayat Ibnu Majah (2413), al-Tirmizi (1079) dan al-Baihaqi (6891)]

Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadis ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193 dan Mir’at al-Mafatih, 8/152)

Daripada Maimunah binti al-Harith, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ اسْتَدَانَ دَيْنًا يَعْلَمُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مِنْهُ أَنَّهُ يُرِيدُ أَدَاءَهُ أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْهُ
“Sesiapa yang berhutang dan Allah tahu bahawa dia ingin menunai dan melangsaikannya, nescaya Allah memudahkan baginya.” [Riwayat Ahmad (25840)]

Dalam isu persoalan di atas, oleh kerana dia adalah ayah kita dan beliau dalam keadaan sukar untuk menyelesaikan kesulitannya sedangkan kita mempunyai kemampuan, maka sewajar dan sepatutnya untuk kita membayarnya bagi pihak bapa kita kerana ia termasuk dalam bir al-walidain.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ امْرَأَةً جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَمَاتَتْ قَبْلَ أَنْ تَحُجَّ أَفَأَحُجَّ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَتَهُ قَالَتْ نَعَمْ فَقَالَ اقْضُوا اللَّهَ الَّذِي لَهُ فَإِنَّ اللَّهَ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ
Bahawa seorang wanita telah datang kepada Nabi SAW seraya bertanya: “Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk melaksanakan ibadat haji sedangkan dia mati sebelum menunaikannya. Adakah aku perlu berhaji untuknya?” Jawab Nabi SAW: “Ya. Lakukanlah haji untuknya. Apa pandanganmu jika kamu dapati ibu kamu ada hutang, adakah kamu melangsaikannya?” Jawab perempuan tersebut: “Ya.” Maka sabda Nabi: “Tunailah hutang Allah kerana Allah lebih berhak hutangnya dilangsaikan.” [Riwayat al-Bukhari (7315)]

Imam al-Munawi berkata: “Hak Allah yang mesti bagi kamu terdiri daripada perkara yang fardhu dan lainnya. Maka Allah lebih berhak kita tunaikan termasuk masalah iman, taat dan menunaikan kewajipan.” (Lihat Faidh al-Qadir, 2/70)

Ia juga termasuk dalam bab menggembirakan hatinya yang membawa kepada keredhaan. Semoga ia juga termasuk nas sepertimana  yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ ، وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ
“Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa.” [Riwayat al-Tirmidzi (1900) dan Ibn Hibban (2026)]

Kami berpendapat, jika sekiranya anak mempunyai kemampuan, maka membayar hutang bapanya seharusnya menjadi keutamaan. Walaupun begitu, kami syorkan jika anaknya ramai, seperti lima orang, maka anak-anak perlu berbincang untuk meringankan beban bapa dan juga beban anak-anak itu sendiri. Jika sekiranya masing-masing menyumbang dalam jumlah yang tertentu serta mengikut kadar kemampuan masing-masing, maka ia sudah tentu akan membawa sikap kebersamaan dan memupuk kasih sayang sesama keluarga dan hilang perasaan tidak puas hati dan terbeban kepada satu-satu anak.

Yakin dan percayalah, membantu ibubapa merupakan salah satu punca kebahagiaan seseorang anak dan membuka pintu rezeki. Kami titipkan sebuah kisah yang pernah kami baca yang berlaku di Arab Saudi, di mana seorang anak yang sangat berbakti kepada orang tuanya. Anak tersebut telah membayar hutang bapanya yang berjumlah lebih 1 juta Riyal Saudi. Dia menjual rumah yang dimilikinya bagi tujuan melunaskan hutang tersebut. Akhirnya pemiutang tersebut mengetahui usaha dan inisiatifnya untuk membantu bapanya. Beliau sangat tersentuh dengan tindakan anak tersebut lantas memulangkan kembali kesemua wang tersebut sebagai hadiah kepadanya.

Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan mereka yang berbakti kepada kedua ibubapa dan dikurniakan ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Amin.


+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 3/31/2019

0 comments:

Loading...