Harimau Malaya mungkin pupus lima ke 10 tahun lagi

Posted on Monday, March 18, 2019 | 3/18/2019


KUALA LUMPUR – Spesies Harimau Malaya kemungkinan akan pupus dalam tempoh lima ke 10 tahun lagi sekiranya tiada tindakan drastik dilakukan bagi melindungi haiwan itu, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata populasi haiwan berkenaan kini berada pada tahap membimbangkan dengan kurang daripada 200 ekor melalui Survei Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan pada 2016 hingga 2018.

“Jumlah sebenar populasi Harimau Malaya akan diketahui setelah survei berkenaan selesai pada tahun 2020,” katanya menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fahmi ingin tahu jumlah populasi Harimau Malaya di seluruh Malaysia dan langkah-langkah dilaksana untuk mengekal dan meningkatkan populasi haiwan berkenaan.

Xavier berkata pihaknya melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan kini sedang mengambil langkah proaktif bagi melindungi populasi Harimau Malaya antaranya meningkatkan rondaan dan pemantauan di 20 lokasi ‘hotspot’ pemburuan.

Beliau berkata rondaan dan penguatkuasaan secara bersepadu bersama Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia juga sedang dibincangkan untuk dilaksana.

“Terdapat juga persetujuan pada dasarnya daripada beberapa universiti untuk mendapatkan sukarelawan mahasiswa daripada kursus biodiversiti dan perhutanan untuk mengadakan rondaan,” katanya. -Bernama



Sumber: cempedakcheese.com
Blog, Updated at: 3/18/2019

0 comments:

Loading...