Isu cek Clare: Permainan kotor Anwar memakan diri

KUALA LUMPUR – Selepas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengesahkan akaun yang membayar membayar RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report, ada pihak mendakwa itu semua ‘permainan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Blogger kontroversi, Raja Petra Kamarudin menganggap pendedahan Presiden PKR itu ‘menyerang’ Pas sebenarnya ‘memakan diri’ Anwar sendiri.

Menurutnya, cek yang dibayar kepada Clare Rewcastle Brown itu bukan dibayar oleh Pas atau presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia dibayar oleh Rameli Musa yang juga Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sekarang yang didakwanya dilantik selepas tiga hari pembayaran itu dibuat.

Rameli pula adalah ipar kepada rakan Anwar, Datuk Kamarudin Md. Nor yang telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia naungan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kenapa Anwar meminta Rameli membayar Clare sebanyak RM1.4 juta dan membocorkan rahsia ini belum diketahui setakat ini.

“Lebih memelikkan kenapa berpura-pura mendakwa bayaran itu sebagai penyelesaian antara Hadi dan Clare?” soal Raja Petra dalam Malaysia Today hari ini.

Menurutnya, ada dakwaan ia dilakukan bagi menampakkan Rameli adalah ‘budak Mahathir’ dan Clare ‘bekerja’ di bawah Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, ia mungkin taktik serampang dua mata Anwar selepas Mahathir dan Pas ‘mendedahkan’ kemungkinan berlaku proses undi tidak percaya kepada Mahathir baru-baru ini.

Sementara itu, laporan Malaysiakini, peguam Clare, Americk Sidhu pula mengesahkan nombor akaun pada cek RM1.4 juta milik anak guamnya.

Americk yang merupakan penama dalam cek berkenaan mengakui cek itu ditulis di hadapannya namun enggan mendedahkan pemegang akaun penulis cek berkenaan.

Ia bagi menjawab dakwaan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan yang mendakwa nombor akaun pada cek bayaran itu sebagai palsu.- MalaysiaGazette



Sumber: cempedakcheese.com