Johor mahu henti beli air terawat dari Singapura

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri merancang untuk tidak lagi mendapatkan bekalan air terawat dari Singapura sekali gus mahu menampung sendiri keperluan sumber itu.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, perancangan berhubung perkara tersebut akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Saya sentuh sedikit mengenai isu air dengan Singapura, saya ingin memberi pencerahan bahawa telah ada perancangan untuk tidak lagi bergantung kepada Singapura bagi mendapatkan sumber air terawat yang kita beli daripada mereka selama ini.

“Namun perkara ini masih lagi dalam peringkat perancangan dan saya tidak dapat kongsikan butirannya pada ketika ini sehingga perancangan ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Johor di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor Bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan juga barisan Menteri Kabinet di Putrajaya hari ini. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com