Keganasan tiada kaitan dengan permainan PUBG – Syed Saddiq

SEPANG – Unsur keganasan tetap berlaku walaupun tiada aplikasi permainan dalam talian popular, Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) yang dikaitkan dengan serangan di New Zealand, Jumaat lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, permainan tersebut tidak boleh dikaitkan dengan tindakan ganas seseorang kerana sifat ekstremisme merupakan fahaman individu.

“Jika seseorang itu ada fahaman ekstremis, dia tetap akan lakukan (serangan), seperti tahun lalu, bila tiada PUBG, tetap keganasan itu berlaku.

“Ini (PUBG) tidak kena mengena, kita tidak perlu mengharamkan semua permainan hanya kerana ia berkait rapat dengan unsur penembakan, ia lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Festival GT Asia, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Syed Saddiq berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pengharaman aplikasi PUBG di beberapa buah daerah di Gujarat, India berkuat kuasa 6 Mac lalu.

Alasan pengharaman itu ialah kerana PUBG didakwa sebagai merbahaya kerana mencetus ketagihan kepada penggemarnya sehingga memberi kesan negatif pada perkembangan sosiologi.

Syed Saddiq berkata, aktiviti keganasan seharusnya dikecam oleh masyarakat seluruh dunia kerana ia bercanggah dengan prinsip kemanusiaan yang dipegang setiap manusia. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com