Kelantan terpaksa beli air dari Terengganu jika kemarau berterusan

Posted on Saturday, March 02, 2019 | 3/02/2019


PASIR MAS – Kerajaan negeri Kelantan akan mengadakan perjanjian membeli air dari Terengganu jika bekalan air berkurangan, akibat cuaca panas ketika ini, kata Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob.

Katanya, perkara tersebut telah dibincangkan bersama Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Kita mempunyai sahabat di Terengganu dan saya sudah berbincang dengan Menteri Besar Terengganu. Mungkin ada satu persefahaman untuk kita beli air dari Terengganu sekiranya keadaan memaksa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Masjid Haji Ibrahim, Kampung Jalah, Bunut Susu di sini, hari ini.

Dalam pada itu Ahmad berkata kerajaan negeri juga telah mengadakan perbincangan mengenai tindakan yang perlu dilakukan berkaitan keadaan cuaca semasa yang mungkin memberi kesan terhadap bekalan air di negeri ini.

“Kerajaan negeri telah meminta Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan membuat pemantauan (di sumber bekalan air).

“Agensi tersebut turut diminta memberi pandangan, cadangan dan kemungkinan-kemungkinan yang mungkin berlaku jika bekalan air tidak mencukupi,” katanya.

Ditanya kesan cuaca panas yang mungkin menggangu aktiviti pertanian, dan menyebabkan kerugian kepada golongan tersebut, Ahmad berkata kerajaan Persekutuan akan memberikan bantuan sewajarnya terhadap pengusaha sektor tersebut.

“Kita harap cuaca panas tak berlanjutan dan kita jangka pada akhir Mac atau awal April hujan akan kembali berlaku,” katanya.

Kelantan dilanda cuaca panas ketika ini walaupun Monsun Timur Laut dijangka akan berakhir pada penghujung Mac ini.

– BERNAMA



Sumber: cempedakcheese.com
Blog, Updated at: 3/02/2019

0 comments: