Kerajaan PH Johor tidak bersihkan sisa pencemaran kerana kos yang tinggi

IPOH – Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid menegur tindakan kerajaan yang membenarkan sekolah-sekolah di kawasan yang dicemari gas toksik di Pasir Gudang, Johor, Khamis lalu dibuka semula ketika sisa toksik di Sungai Kim Kim itu masih belum dibersihkan.

Menurut beliau, tindakan menyekat sisa toksik itu sepatutya perlu diambil di peringkat awal kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada komuniti setempat ekoran bahan kimia tersebut bereaksi lebih aktif apabila berlakunya cuaca panas selain tiupan angin.

“Tindakan menutup sekolah ini merupakan satu tindakan yang baik, malahan saya dari semalam lagi sudah minta dalam julat radius tertentu, dapat diambil tindakan untuk pemindahan. Sekiranya perlu mengosongkan kawasan itu, hendaklah dilakukan sewajarnya bagi memastikan mereka ini selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penganugerahan pingat kebesaran jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 JPBM negeri Perak yang turut dihadiri oleh Pemangku Pengarah JBPM negeri, Sayani Saidon di sini hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, beliau difahamkan kos untuk membersihkan sisa toksik yang dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke dalam Sungai Kim Kim itu sangat tinggi menjadi sebab bahan berbahaya itu dibiarkan begitu sahaja, tanpa sebarang tindakan diambil.

Jelas beliau, tindakan bersepadu membabitkan pelbagai jabatan dan institusi perlu diambil bagi mengelak kesan pencemaran toksik ini semakin parah memandangkan tanggungjawab JBPM hanya terlibat dalam mengesan bahan berkenaan bagi menyelamatkan orang ramai di kawasan terbabit. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com