‘Maafkan ayah, sayang… semoga kita bertemu di syurga’

DUNGUN – “Maafkan ayah, sayang… semoga kita bertemu di syurga,” hanya itu mampu diungkapkan Mohd Khairul Faezzan Zakaria, 27, kepada anaknya Muhammad Zikry Haziq, 5, di luar Bilik Kecemasan Hospital Dungun hari ini.

Putera kesayangannya itu sebelum itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Dua beranak berkenaan sebelum itu terbabit kemalangan apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan Perodua Kelisa di kawasan simpang tiga di Kampung Gong Pasir, di sini 8.15 malam tadi.

Allahyarham Muhammad Zikry Haziq meninggal dunia selepas parah di bahagian kepala manakala bapanya patah paha kanan.

Muhammad Zikry Haziq terlebih dulu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan ambulans dan dalam perjalanan itu dia disahkan meninggal dunia dan dibawa pulang semula ke Hospital Dungun.

Suasana pilu menyelubungi perkarangan luar Bilik Kecemasan Hospital Dungun selepas Mohd Khairul Faezzan meminta kebenaran pegawai perubatan untuk bertemu anak tunggalnya itu buat kali terakhir.

Sementara itu, nenek mangsa, Syarifah Salwati Syed Anuar, 45, berkata, dia tidak menyangka perasaan tidak sedap hati sepanjang hari itu membawa petanda kehilangan cucu tersayang.

“Setiap hari selepas pulang kerja saya ke rumahnya kerana dialah satu-satunya tempat saya menghilangkan kesunyian.

“Hari ini saya sangat terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan arwah kerana saya lewat pulang dari kerja,” katanya.

Lebih meruntunkan hatinya apabila teringatkan dia sudah menempah sepasang baju Melayu kepada arwah cucunya itu untuk dipakai pada satu majlis kenduri minggu depan.

“Baju Melayu itu akan saya simpan sebagai kenangan buat selama-lamanya,” katanya ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman ketika ditemui berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Perodua Kelisa dipercayai keluar dari simpang tiga di lokasi kejadian secara tiba-tiba.

Pada masa sama katanya, motosikal dinaiki dua beranak itu gagal mengelak lalu merempuh kereta terbabit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia jam 11.10 malam ketika dalam perjalanan ke HSNZ sebelum mayatnya dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com