Mayat tanpa anggota badan sah usahawan tekstil dari Bandung

KEPUTUSAN ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap dua mayat tidak sempurna yang ditemui di Bandar Desa Coalfield, Sungai Buloh, 26 Januari lalu disahkan sebagai usahawan tekstil dari Bandung, Indonesia, Ujang Nuryanto, 37.

Sementara, satu lagi mayat disahkan rakannya Ai Munawarroh, selepas tiga minggu ujian DNA dilakukan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, keputusan berkenaan diperoleh pihaknya tiga hari lalu sebelum diserahkan kepada kedutaan Indonesia.

“Pihak kedutaan sudah dimaklumkan oleh polis berhubung keputusan DNA berkenaan.

“Jenazah kedua-dua mangsa masih di Hospital Sungai Buloh dan akan dituntut keluarga dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shafa’aton Abu Bakar berkata, dua suspek warga Pakistan yang ditahan pada 29 dan 30 Januari lalu masih ditahan reman bagi membantu kes siasatan kes lain di Shah Alam.

“Polis kini giat menjalankan operasi bagi mengesan seorang lagi suspek yang identitinya sudah dikenal pasti.

“Suspek berkenaan dipercayai dapat membantu siasatan berhubung penemuan dua mayat berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Peguam Syarikat Tekstil berkenaan, Hermawan berkata, pihaknya akan menghantar wakil bagi menguruskan jenazah untuk dihantar pulang ke Bandung.

“Pihak keluarga dan saya tidak akan ke Malaysia sebaliknya akan menghantar wakil menguruskan jenazah.

“Isteri mangsa, Meli Rahmawati, 33 masih bersedih dan meminta tidak diganggu disebabkan itu dia tidak akan ke Malaysia untuk menuntut jenazah,” katanya.

Pada 26 Januari lalu, mayat dua individu tanpa identiti ditemui berhampiran sungai di kawasan kelapa sawit.

Selain itu, satu plastik dipercayai mengandungi kepala, tangan dan kaki yang turut ditemui di lokasi kejadian oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan, jam 2.30 petang.

Hasil pemeriksaan polis mendapati mayat seorang lelaki dan wanita yang ditemui di lokasi kejadian.

Susulan itu, dua lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan dua mayat berkenaan.

Terdahulu, isteri Nuryanto, Meli Rahmawati dilaporkan berkata, dia mahu pihak berkuasa Malaysia mencari keadilan buat suaminya yang dibunuh dengan kejam.

“Saya minta keadilan buat suami saya seadil-adilnya sampai pembunuh itu tertangkap.

“Jika ada peluang memang teringin hendak bertemu dengan pembunuh itu.

Apa motif dia bunuh suami saya, apakah dia tak fikirkan saya dan anak masih kecil di rumah menunggu kepulangan suami?” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com