Menjadi Kewajipan Umat Islam Pertahan dan Muliakan Rasulullah SAW - Mufti Wilayah

Posted on Saturday, March 02, 2019 | 3/02/2019



Mempertahankan dan memuliakan Rasullullah SAW adalah menjadi kewajipan buat umat Islam, serta haram sama sekali menghina Baginda.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, menyintai Rasulullah SAW juga termasuk dalam keimanan dan kemanisan iman.

“Kami menyatakan bahawa Rasulullah SAW adalah insan yang paling mulia dipilih ALLAH SWT, tidak seperti manusia lain.

“Rasulullah SAW mempunyai pelbagai keistimewaan yang tidak ada pada orang lain. ALLAH SWT menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dan panduan untuk semua umat.

“Justeru kita wajib pertahankan Rasulullah SAW, memuliakan Baginda SAW, dan haram sama sekali kita menghinanya,” katanya menerusi catatan yang diulang siar di laman Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini.

Perkongsian catatan Bayan Linnas Siri 55: Rasulullah SAW: Jangan sesekali menghina Baginda itu pernah dimuat naik pada 16 Mac 2016.

Catatan yang dikongsi sekali itu dibuat bagi memberi respond mengenai tindakan seorang pengguna Facebook bernama Foo Sing Wai menyiarkan grafik menghina Rasulullah SAW dan agama Islam khususnya.

Terdahulu, paparan status Facebook itu tular dan mengundang kemarahan orang ramai khususnya masyarakat Islam.

Malah, ramai yang menggesa agar SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera terhadap individu berkenaan.

Bagaimanapun, carian di Facebook mendapati hantaran tersebut tidak dijumpai dipercayai telah dipadamkan. – Sinar Harian

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 3/02/2019

0 comments: