Mohamad Sabu cuba baling botol air pula

HULU LANGAT – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang cukup terkenal dengan aksi membaling mikrofon mencuri tumpuan apabila cuba membaling botol air pula dalam ceramah perdana Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, malam ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden PH dilihat cukup beremosi ketika menyampaikan ceramah dan menceritakan tentang pengalamannya semasa berada dalam kepemimpinan Pas.

Beliau yang turut mengimbau semula sejarah Pas berkata, parti berkenaan pernah mengadakan perbincangan terbuka dengan beberapa parti seperti Parti Perikatan dan Semangat 46, namun mempersoalkan mengapa Pas tidak mengadakan perbincangan sedemikian dengan UMNO.

“Dahulu saya ditarbiahkan UMNO ini jijik. Sampaikan kalau ada makanan sembelihan orang UMNO pun kalau boleh jangan makan. Tapi sekarang mereka bercium mulut.

“Tiada masalah kalau nak bersama UMNO. Tapi yang penting bawa dalam perbincangan. Kenapa mahu sembunyi? Kalau bawa ke dalam perbincangan ahli jawatankuasa pusat dan bersama dengan UMNO secara terbuka, lama dah saya jadi menteri. Tak payah keluar masuk lokap banyak kali,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com