Pasukan khas pertahan Streram dalam media sosial

REMBAU – Sebuah pasukan khas media sosial akan ditubuhkan bagi menangkis fitnah terhadap calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S. Streram.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S.Thiban berkata, langkah itu diambil ekoran terdapat banyak fitnah dilemparkan terhadap Streram sejak kebelakangan ini.

“Antara fitnah itu termasuk Streram kononnya pernah mengatakan pengundi sebagai lembu. Sebab itu kita perlu jelaskan kepada pengundi DUN Rantau melalui Facebook dan WhatsApp tentang perkara ini.

“Kami akan turut mewujudkan nombor WhatsApp untuk orang ramai membuat aduan sekiranya ada fitnah ke atas Streram. Kami juga dalam proses mengumpulkan fitnah dalam media sosial dan akan membuat laporan polis minggu ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Penyelaras PH DUN Rantau di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pilihan Raya AMK Negeri Sembilan, S. Sugumaran dan Ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau, Norazizi A. Aziz.

Sementara itu, Thiban berkata, AMK yakin Streram mampu menang besar dalam PRK DUN Rantau pada 13 April ini berdasarkan kajian lapangan yang dijalankan pihaknya.

Ujarnya, mana-mana pihak termasuk pimpinan PH yang kurang yakin tentang perkara itu dijemput datang ke Rantau bagi menilai sendiri penerimaan masyarakat terhadap Streram.

Jelas beliau, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, PKR menang tujuh daripada 14 Pusat Daerah Mengundi dalam DUN Rantau bagi kerusi Parlimen Rembau dan momentum itu dijangka kekal semasa PRK nanti.

Rantau merupakan salah satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Rembau selain Chembong, Kota dan Paroi. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com