Pelajar cuba bunuh diri kerana kecewa cinta ditolak

KUALA LANGAT – Usianya baharu menginjak 13 tahun tetapi sudah bermain cinta dan akibat kecewa, pelajar tingkatan satu itu cuba membunuh diri dengan mahu terjun dari bumbung tingkat dua sekolahnya di Banting hari ini.

Pelajar lelaki itu bertindak di luar kewarasan diri ketika sesi pembelajaran masih lagi berjalan dan sempat menulis nota meluah rasa kekecewaanya kerana gadis yang ‘dicintainya’ memilih untuk rapat dengan pelajar lelaki lain.

Malah, insiden dia sedang berjalan di atas bumbung sekolah dan kemudiannya bergelut dengan pasukan penyelamat turut tular di media-media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.30 petang mengatakan ada seorang pelajar cuba bunuh diri.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan pihak APM dibantu Bomba sudah berjaya menyelamatkan mangsa setelah dipujuk hampir setengah jam.

“Pelajar ini hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian lengannya semasa proses menyelamat dan telah di bawa ke hospital Banting untuk rawatan.

“Siasatan mendapati pelajar ini mengaku cuba untuk bunuh diri kerana kecewa dengan seorang pelajar perempuan lain sebaya dengannya. Mangsa mengatakan telah berjumpa dengan pelajar perempuan terbabit semalam untuk meluahkan perasaan cintanya tetapi ditolak.

“Pelajar perempuan terbabit memberi alasan tidak meminati mangsa dan lebih menyukai seorang pelajar lelaki lain. Ekoran penolakan cinta, mangsa merasa putus asa dan mengambil keputusan untuk membunuh diri,” katanya, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com